Jam sudah menunjukkan jam 2.45 petang. Tanpa saya sedari…
Waktu untuk ambil anak sekolah. Macam lewat rasanya...detik hati saya.
Anak-anak saya keluar dari sekolah jam 3 petang. Tepat… Saya yang selalu lambat.
"Ok! Siap"
Mata saya melilau memilih kasut sambil tangan saya membelek telefon bimbit untuk melihat suhu pada petang ini.
10 degree. Maknanya kena pakai boot.
Sejak tinggal di bumi Kanada saya kena beli kasut lain untuk melindungai kaki daripada kesejukan. Alhamdulillah, harga kasut berbaloi sesuai dengan cuaca di sini. Kalau di Malaysia harga untuk boot mencecah hampir RM 700 tetapi di sini boleh dapat sekitar CAD 50.
Tangan saya memegang tombol pintu sambil tangan mengunci pintu rumah. Terdengar suara memberi salam. Saya menoleh ke belakang.
"Good afternoon Siti. How are you?", tanya Carol.
"Yes, Carol. I'm great. Thank you and how are you?" saya pula bertanya khabar kepadanya.
"I'm pretty good", jawab Carol.
Beliau bercerita tentang keadaan suaminya yang sangat suka dengan lauk yang saya masak tempohari. Saya ada masak lauk asam pedas ikan basa versi Kanada. Memang tidak pedas tapi Carol kata sedikit pedas.
Bersungguh-sungguh beliau bercerita tentang kesedapan lauk yang saya berikan dan mengucapkan terima kasih. Berkali-kali Carol mengucapkan terima kasih. Terharu saya dibuatnya. Bukan apa budaya kita tidak mengucapkan berkali-kali ucapan terima kasih. Mungkin sudah budaya mereka. Apa salahnya kan kalua yang baik kita ikuti.
Selesai bercerita Carol minta diri untuk masuk rumah memandangkan angin sangat kuat di luar rumah.
Saya terus ke kereta… untuk menjemput Lana dan Umar dari sekolah.
Carol merupakan jiran sebelah rumah saya. Usia beliau sudah mencecah 75 tahun tetapi masih kuat bertenaga. Setiap hari beliau akan bawa anjingnya yang bernama Mickey berjalan-jalan sekitar perumahan di sini. Melihat dirinya saya sangat teruja dengan kecergasan beliau. Apakah rahsianya, insyaAllah saya akan kongsikan di lain tajuk ye.
Saya sebenarnya sangat kagum dengan sikap mat saleh. Mereka suka bertanya khabar apabila bertemu. Kadang-kadang saya termalu sendiri kerana saya lebih lambat bertanya khabar. Sedangkan budaya Melayu menggalakkan kita sentiasa mengucapkan salam sesama manusia.Yang paling saya kagumi apabila mereka kadang-kadang mengetuk pintu rumah saya hanya untuk bertanya khabar kerana sudah seminggu tidak nampak kelibat saya di luar rumah.
Hai, naik segan dibuatnya sebab saya tidak pernah buat seperti itu di Malaysia.
Kadang-kadang kita selalu ingat apa yang kita buat sudah terbaik tapi rupa-rupanya banyak lagi yang perlu diperbaiki. Betul tak?
Jom kita sama-sama perbaiki diri ye.😀
#ceritakamidikanada