Bola Sepak dengan Mat Saleh

Bila sebut pasal pengalaman, sama ada ia akan jadi pengalaman yang cukup manis atau pun pengalaman yang paling pahit.

Begitu juga dengan Umar...

Alhamdullilah Umar merasa pengalaman yang cukup indah pada usia yang masih muda apabila dapat menyepak bola sepak bersama rakan-rakan Mat Saleh.

Setelah 6 bulan memeluk bola, akhirnya pada awal hujung bulan Mei, Kelas Bola Sepak White Cap membuka pendaftaran sesi baru untuk musim ini iaitu summer 2019. Insyaallah ia akan berlangsung sesi latihan sehingga hujung bulan Julai 2019.  Memandangkan sukan bola sepak hanya bermain pada musim panas maka sukan ini hanya berlangsung sekitar 3 ke 4 bulan sahaja sehingga musim luruh yang akan datang.

Hari pertama bermain di padang Sekolah Mount Elizabeth, saya lihat muka Umar berseri-seri kerana impiannya hendak bermain bola sepak di bumi Kanada tercapai.  Walaupun dalan keadaan angin sejuk yang bertiup, Umar kelihatan cukup bersemangat.




"Adik nervous la Mama", terdengar getaran suara Umar.

"Kenapa nervous?", tanya saya.

"Tak tahu. Nanti Mama tunggu Adik sampai habis ye!".

"Eh, Mama tak dapat temankan Adik sebab Mama belum masak untuk makan malam ini",  pujuk saya pada Umar.

Bila kami tiba di padang bola Sekolah Mount Elizabeth.  Lain pula jadinya...

"Tak pe lah Mama. Tu Nicholas dengan Fabien ada.  Mama boleh balik lah.  Nanti jemput adik pukul 7.30 malam. Ok... Bye Mama",  intonasi yang sudah berbeza.

Begitulah Umar...

Siapa yang tidak gembira bila anak-anak juga gembira.  Betul kan?

Saya dan suami memberi galakan sepenuhnya.  Sepanjang 6 bulan tanpa sebarang latihan, Umar sentiasa berada dalam keadaan cukup sedih.  Hampir setiap hari dia akan bertanya kepada kami berdua.

"Bila Adik boleh main bola sepak? Lama sangat dah rasanya tak main bola sepak.  Adik bosan sebenarnya",  Umar meluahkan rasa hatinya.

"Mama nak buat macamana,  ini kan winter.  Padang penuh salji.  Adik kena fikirlah permainan lain.  Mr Railey banyak kali ajak Adik main ice hockey".

Saya bercerita permintaan Mr Railey yang sudah berkali-kali mengajak Umar bermain dengan sukan hoki ais.  Namun Umar hanya menggelengkan kepala.  Mungkin juga Mr Railey melihat Umar ada potensi dalam permainan sukan padang.  Bukan tiada pilihan sukan lain sekiranya berada pada musim lain tetapi memang hati Umar tiada pada sukan lain.

Sayu juga saya melihatnya, kadang-kadang dia tertidur dengan bola sepak di atas sofa.  Bola di peluk, kasut bola sudah siap tersemat di kaki.  Hari-hari Umar melihat cuaca di luar rumah.  Termenung dia duduk keseorangan di backyard rumah kami.  Semenjak 4 bulan lepas, Umar sabar menanti kehadiran sang mentari.  Harapannya sangat tinggi untuk menyepak bola di padang rumput.

Akhirnya selepas 4 bulan, penantiannya berakhir.

Saya sudah mula melihat setiap inci kegembiraan tergambar di wajahnya.  Dan kini, hampir setiap hari Umar akan bercerita keseronokannya menyepak bola di padang rumput.

"Coach kata Adik speeder, Mama".

"Ye, hebatnya Adik.  Tahniah.  Mama tahu Adik memang hebat",  puji saya padanya.

Umar akan tersengeh-sengeh bila saya memujinya sehingga kembang pipi dan hidung.  Menampakkan wajah comelnya.

Pada hari Sabtu lepas buat pertama kali, Umar terpilih dan menerima jemputan khas dari Kelab Bola Sepak White Cap di Terrace selepas Coach melihat aksi Umar di padang selama seminggu.  Umar akan menjalani sesi latihan secara intensif.  Kelab ini merupakan kelab bola sepak di Vancouver, Kanada. Dua lagi rakannya dari Sekolah St Anthony juga terpilih untuk menjalani sesi latihan intensif ini.  Syabas Umar!


Harapannya semoga dia mendapat peluang bermain di mana-mana liga bola sepak.

Semoga anak Mama berjaya dalam bidang yang diminati.  Jangan lupa solat walau dimana jua Adik berada.  Ya Sayang….

0 ulasan