Bab 1 Dia Yang Teristimewa

Siapa di sini yang ada anak-anak istimewa? Kakak yang istimewa? Adik yang istimewa? Susah ke nak jaga adik-beradik yang ada masalah kurang upaya ni? 

Saya mempunyai seorang kakak yang istimewa bernama Jora.  Namanya sangat panjang sebenarnya tetapi saya sendiri pun tidak tahu bila masa namanya telah bertukar kepada Jora.  Apa yang paling melucukan Kak Jora sendiri pun tidak boleh menyebut namanya dengan sempurna.  


Mengikut cerita Mak, Kak Jora dilahirkan sama macam bayi normal yang lain.  Mak kata zaman bayi Kak Jora suka menangis sehinggakan semua pergerakan Abah dan Mak tergangggu.  Pada usia 4 bulan Mak kata Kak Jora terkena demam panas.  Menurut cerita Mak lagi, akibat ketiadaan kenderaan Mak dan Abah lewat membawa Kak Jora dengan segera ke hospital.  Mungkin daripada situ Kak Jora mengalami sindrom autism.  Begitulah suratan yang perlu diterima oleh Kak Jora.   


Bagi saya Kak Jora hebat kerana dia boleh berdikari dengan berniaga kecil-kecilan di hadapan sekolah ketika ini. Dan Kak Jora sudah bertahan berniaga di hadapan sekolah lebih daripada 10 tahun.  Walaupun kadang-kadang tiada keuntungan yang diperolehi.  Dia tetap berusaha berniaga hari-hari persekolahan. Membancuh air sirap, air oren, menggoreng nugget dan sedikit makanan ringan untuk tatapan anak-anak yang pulang mahupun yang baru hendak masuk ke sekolah bagi sesi persekolahan petang.  


Saya masih ingat lagi pada hujung tahun 1986, ketika itu saya berada di darjah 3.  Abah meminta saya bertukar sekolah.

“Tahun depan masa darjah 4, abah akan tukarkan sekolah bersama Kak Jora, Sekolah Kebangsaan Seri Intan.  Temankan Kak Jora, tengok-tengokkan Kak Jora berkawan dengan siapa.  Kesian dia.” Abah memujuk saya.


“Boleh Abah,” jawab saya sambil mencari Kak Jora.  Kak Jora suka bermain berseorangan di bilik belakang.


Saya tahu Abah juga amat menyayangi Kak Jora walaupun dia tidak menunjukkan kasihnya dari segi perbuatan.


“Kau suka ke pergi sekolah sama-sama dengan Ya?” Kak Jora membahasakan dirinya Ya pada Mak, Abah, Kak Omel dan saya.  Peliknya dengan Am dan Is dia akan membahasakan diri ‘Atak’. Mengikut pelatnya.


Kak Jora bertanya dengan bahasanya yang pelat.  Itulah kelemahan Kak Jora, dia tidak boleh menyebut perkataan dengan sempurna.  Kak Jora mengalami penyakit Autism yang menyebabkan dia seorang yang lemah dalam berfikir.  Namun begitu Kak Jora mempunyai keistimewaan ditempat lain.


“Tak apelah nanti kalau kita sekolah sama-sama.  Petang-petang Ya boleh temankan kayuh basikal, pergi taman bersama-sama.  Nanti Ya temankan kau baca buku”.  Kadang-kadang Kak Jora pandai memujuk.


Kak Jora seorang yang tidak boleh membaca walaupun kadang-kadang dia berlakon seolah-olah gaya seorang yang sedang membaca.  Di sekolah dia masuk kelas khas yang dinamakan Kelas Mawar.  Pada zaman itu tidak ada kemudahan seperti sekarang.  Anak-anak istimewa ini ditempatkan di satu bilik  yang penuh dengan mainan dan ada papan hitam untuk mereka menulis.  Kak Jora kata dia tak suka sangat masuk Kelas Mawar sebab kena belajar bersama budak-budak yang kurang usia daripadanya.  Nak buat macamana, saya hanya melihat Kak Jora dengan penuh simpati.

Kak Jora sampai sekarang tidak berkahwin.  Dia hanya mampu bersekolah sehingga tahap SRP.  Kak Jora seolah-olah memberi laluan kepada adik-adiknya berkahwin dan menikmati kehidupan berumahtangga.  Saya sering mengusik Kak Jora tentang perkahwinan.


“Kak Jora nak kahwin?  Dah ada boy friend ke?” saya tanya soalan sambal menolak bahunya.


“Haish.. mana ada boy friend.  Nanti kalau kahwin kena ikut suami.  Siapa nak jaga mak?”.  

Begitulah Kak Jora ada masanya kata-katanya membuatkan saya terfikir dalam diam dia mengorbankan dirinya untuk adik-adiknya.  Kak Jora menjadi peneman setia kepada Mak setelah Abah meninggal dunia. 


Di antara kami lima beradik dia lebih rapat dengan saya.  Mungkin kerana umur kami yang tidak jauh bezanya.  Dari muda lagi Kak Jora seorang yang suka mengalah dengan adik-adiknya.  Dalam diam dia akan membeli makanan pabila balik dari sekolah.  Dia suka membeli jajan di gerai tepi pagar sekolah.  Jajan itu akan diberikan kepada Am dan Is. Sering kali duit belanja habis untuk membeli makanan sebagai buah tangan kepada Am dan Is.


“Kak Jora ada makan ke masa rehat tadi?” tanya saya.


“Ada kawan bawa bekal kami makan sama-sama.  Itu sebab kenyang.  Duit ni nak beli makanan untuk Am dan Is.  Tak apa esok Abah bagi duit lagi kan?  Kau kena makan banyak-banyak nanti nak baca buku malam ni. Ya tak apa.  Kau kena belajar rajin-rajin nanti lepas UPSR kau kan nak masuk asrama macam Kak Omel”, kata-kata Kak Jora buat saya terdiam.  


Siapa boleh agak perasaan saya masa tu? Seolah-olah dia mengerti dia tidak akan pergi jauh hingga ke menara gading.  Saya kira walaupun Kak Jora seorang autism tapi itu tidak bermakna dia tidak ada perasaan.  Terlihat di wajahnya perasaan kasih sayang pada adik-adiknya.

Pernah saya terdengar perbualan Kak Jora bersama rakan-rakannya di kantin sekolah.  Bukan main rancak lagi berkata-kata,  seperti dia terlupa dirinya seorang pelat.  Lucu kan?

“Kita ada adik tau.  Nanti adik kita bila dia habis SPM dia akan masuk universiti.  Adik kita rajin baca buku mestilah dia lulus dalam peperiksaan”, Kak Jora bersungguh-sungguh bercerita.

“Kau pulak macamana?” Tanya rakannya.

“Kita tak pandai macam dia”, sambung Kak Jora lagi.  Kata-kata Kak Jora buat saya jadi sayu hati.

Sungguh saya tidak menyangka kata-kata Kak Jora merupakan doa buat saya.  Alhamdullilah, selepas tamat SPM… saya berjaya menempatkan diri di Universiti Putra Malaysia hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Sains.  Terima kasih Kak Jora. Saya sayang Kak Jora. 


Next to 👉 Bab 2 Di Kejar Anjing


#mykarya #hakciptaterpelihara

0 ulasan