Bab 2 Di Kejar Anjing

 

Mata yang masih berkelip-kelip melihat siling, berehat membetulkan tulang belakang.

Pada kebiasaannya selepas pulang dari sekolah, Mak pasti ada pelbagai pesanan untuk saya lakukan khususnya pergi ke kedai. 


“Sahrul, tolong mak belikan barang kat kedai”, pinta Mak.


Mak memanggil nama Sahrul.  Saya memang banyak panggilan.  Begitulah kan…


“Mak hendak beli apa?”, tanya saya.


“Tolong Mak belikan kicap dengan bawang merah ye”,


“Bawang merah hendak beli berapa biji?,


“Belilah dalam 10 biji.  Tak perlu beli banyak-banyak berat pula nanti kayuh basikal”,  Mak berlalu meninggalkan saya keseorangan sambil tangannya meletakkan duit RM 5 di atas meja.


Selasai solat zohor, saya bersiap memperkemaskan diri untuk ke kedai.


Tiba-tiba Kak Jora tersembul di muka pintu bilik.


“Kau hendak pergi mana?”, tanya Kak Jora.


“Nak pergi kedai.  Nak ikut?”,


“Nak”,


“Jom”,


Belum pun sempat saya menyambung kata-kata dia sudah melompat ke arah ruang tamu.  Rupa-rupanya dia pergi mengambil basikal yang diletakkan di tepi rumah.


“Mak!  Nak pergi kedai ni.  Kak Jora nak ikut sekali”, saya menjerit pada Mak yang masih sibuk menguruskan baju-baju kotor di bilik air.


“Hati-hati ye.  Tengok kiri kanan jalan ye”,  pesanan dari Mak yang hampir serupa setiap kali saya keluar pergi ke kedai.


“Baik Mak”.


Saya melihat Kak Jora sudah bersedia dengan basikal.


“Ya kayuh kali ni”,  kata Kak Jora.  Kelihatan di wajahnya penuh kegembiraan.


“Kita bawa lah satu lagi basikal sebab nak bawa barang nanti”, saya cuba beri cadangan.


“Tak payah.  Aul peganglah barang-barang tu nanti”.


Begitulah perangai Kak Jora.  Sekiranya dia beri cadangan memang semua orang kena ikut.  Nanti kita pula dikatakan degil.


Kadang-kadang lucu pun ada sebab cadangan dia selalunya memang akan menyusahkan saya semula.  Namun, kali ini saya turutkan sahaja kata-katanya.  Ditambah pula, badan masih terasa kepenatan selepas pulang dari sekolah.


“Duduk elok-elok nanti jatuh”,  Kak Jora memberi arahan.


“Kan susah sekarang nih.  Lebih elok bawa basikal masing,”  


“Ala… tak apa lah.  Biarlah Ya kayuh basikal pula.  Aul kan penat tadi balik sekolah kayuh basikal.  Ya balik sekolah dengan Abah tak penat”,  lancar Kak Jora menyatakan kesungguhan dia untuk membantu.


Alahai,  rupa-rupanya dia memang hendak membantu saya.  Saya tersenyum mendengar kata-katanya.


Itulah Kak Jora, ada kata-katanya sering membuat kita rasa sayu di sebalik perbuatannya.


“Ok lah”.


Saya masih ingat lagi… semasa saya bertatih belajar kayuh basikal.  Kak Jora merupakan guru yang mengajar saya sampai saya pandai kayuh basikal.  Kak Jora sanggup berlari menolak dari belakang sambil saya mengayuh basikal.  Hari-hari dia akan mengajak saya berlatih.  Kadang-kadang Mak marah kerana waktu di tengahari pun kami dua beradik masih sanggup berlatih kayuh basikal.


Agak-agak siapa yang ajar Kak Jora kayuh basikal.  Sebenarnya saya pun tidak tahu tetapi menurut kata Kak Jora yang ajar dia kayuh basikal ialah Abah.  Tetapi, hanya beberapa kali sahaja.  Selebihnya dia berlatih sendiri sehingga beberapa kali terjatuh di jalan raya dan lutut berdarah.


Dan jawapan dari Kak Jora. 


“Tapi Ya tak menangis pun bila jatuh basikal”.


Saya yakin Kak Jora bukan seorang yang mudah menangis sekiranya dia tidak terlalu sakit berbanding saya yang mudah menangis.  Ciwek… Mak saya kata.


“Eh! Janganlah kayuh laju sangat”,  saya memesan pada Kak Jora.


“Mana ada laju”, jawab Kak Jora.


“Eh! Ada anjing la kat depan tu.  Kita ikut jalan lain lah.  Aul takutlah”, saya sudah terasa debarannya.  


Memandangkan saya hanya sebagai penumpang yang duduk di bahagian depan.  Saya sudah tiada pilihan untuk mengarahkan Kak Jora mengikut laluan jalan lain.


“Anjing itu bukan nak kejar kita pun.  Dia tengok je”, Kak Jora cuba meyakinkan saya.


“Kita pergi kedai lain la.  Kedai lain pun ada kicap”,  saya cuba memujuk Kak Jora.


“Kedai itu sahaja yang ada jual kicap yang macam Mak suka itu”.


Akhirnya, basikal kami sudah benar-benar berdekatan dengan anjing.  Walaupun anjing itu bersama tuannya tetapi ketiaadaan tali pada lehernya membuatkan saya tidak yakin.


Namun, apa yang saya fikir benar-benar terjadi.  Dia seperti boleh membaca minda saya yang berada dalam keadaan gemuruh.  Anjing itu sudah mula menyalak.


“Gong, gong, gong”.  


Kelihatan anjing itu memulakan langkah demi langkah dan apa lagi…


“Kak Jora!  Kayuh cepat.  Anjing itu kejar kita”, saya menjerit semahunya.


Bukan main laju lagi Kak Jora mengayuh basikal sampai akhirnya kami terjatuh di tepi jalan kerana termasuk dalam lubang.


“Haiya! Mari sini.  Jangan takut dia mahu main saja”.


Kedengaran suara dari belakang.  Tuan anjing memanggil anjingnya.


“Kamu boleh jalan?”, tanya tuan anjing.


“Boleh Aunty.  Saya tiada apa-apa”, jawab saya.


Tuan anjing dan anjing berlalu meninggalkan kami dalam keadaan masih terpinga-pinga.


“Tu lah.  Orang dah cakap ikut jalan lain.  Degillah Kak Jora nih.  Habis luka tangan orang”, saya memprotes pada Kak Jora sebab tidak mendengar cadangan saya dari awal lagi.  


Air mata saya sudah meleleh membasahi pipi.  Sambil tangan saya menepuk keseluruhan baju yang sudah penuh dengan debu jalan membuatkan hati saya bertambah sedih.


“Dah lah.   Jangan menangis.  Kita pergi kedai lainlah”, jawab Kak Jora sambil memujuk saya.


Sampai di kedai…


“Pergilah beli.  Tak nak masuk kedai, baju sudah kotor”, sekali lagi saya protes.


“Jomlah.  Ya mana tahu Mak pesan apa.  Lap lah mata tuh”.


Saya mula mengalah dengan kata-kata Kak Jora.  Betul juga sebab saya sendiri yang menerima pesanan dari Mak.  Selalunya Mak tak bagi duit dalam jumlah yang besar pada Kak Jora sebab Kak Jora tidak tahu mengira.  Kasihan Kak Jora…


Kali ini, kami pulang ke rumah dalam keadaan lebih tenang.  Tiada lagi kayuhan seperti rempitan sebuah motor.


Sampai di rumah…


“Mak ini barang yang mak pesan.  Semua ada dan ini duit bakinya”, saya menghulurkan duit di tangan Mak.


“Kenapa baju kotor ni?”.


“Kena kejar anjing…”, jawab saya.


“Kena gigit anjing ke?”, Mak mula bertanya dengan pelbagai soalan.


“Tak.  Tuan dia kata anjing itu hendak ajak kami main kejar-kejar”, cerita saya.


Mak hanya tergelak sambil menyuruh saya ke bilik air.


Mak jarang mempersoalkan jika dilihat anak-anak dalam keadaan selamat sekiranya selepas berlaku keadaan kecemasan.  Mungkin doa Mak sentiasa menjadi pengiring kami.  


Previous Bab 1 👉 Dia Yang Teristimewa

#mykarya #hakciptaterpelihara

0 ulasan